Kedamaianku...
Matamu tertutup rapat dengan mulut sedikit ternganga, jemari kecilmu pula menggenggam erat sambil tubuhmu sedkit membengkok. Begitu lena dikau dalam mimpimu, bagai tiada apa yang mengganggu fikiranmu. Itu seharusnya kerana malaikat memelihara kamu, insan kecil yang tidak berdosa.
Lenanya kamu sebaik selesai tugasmu - menceriakan, mendamaikan, menenangkan hatiku! Memberitahu betapa aku perlu bersyukur dengan hadiah dari tuhan! Rahmat tidak terhingga dariNya! Iya! Setiap kali menatap wajah comelmu yang tidak berdosa, membuatkan aku insaf. Betapa aku insan bertuah. Diberikan penawar hati, pengubat duka lara. Wajah yang tidak jemu menguntum senyum. Wajah yang mampu menenangkan jiwa setiap yang menatapnya.
Hadirnya kamu di saat aku dibelenggu sepi. Memanjat doa ke hadrat illahi memohon kekuatan hati, supaya aku tidak lagi teraba-raba di perjalanan ini. Meminta semangat dan cahaya menghadapi kegelapan yang sendirian aku berjuang mengatasinya tanpa kuketahui di mana penghujungnya.
Pintaku...penawar hati, pengubat lara, peneman sunyi, kekuatan dan semangat jiwa supaya terus kental dan kekal berada di landasan perjuangan ini. Dan tanpa ku sedar, rintihan didengariNya.
Bukankah seharusnya aku bersyukur? Kerana akan masih disayangi.
Beratkah tugasmu sebenarnya di sini? Apakah aku membebankanmu?
Dikau terjaga lagi, merengek manja memanggilku yang tiada di sisi. Lenamu hanya kembali selepas tubuhmu diulit, dibelai dan dipeluk manja. Mungkin itu membuatkan dikau selamat untuk kembali bermimpi.
Namun, ia hanya seketika. Akhirnya mata bulatmu yang tidak berdosa kembali terjaga dan mulut kecilmu tersenyum memandangku, sambil jemarimu membelai mesra wajahku untuk kembali bermain dan bersenda bersamaku.
#myheartandsoul



Comments